Pemacu utama yang akan memastikan anda sampai ke makam hakikat dengan selamat adalah niat anda yang tulus lagi murni untuk mengenal kebenaran Al-Haq.
Apakah isyarat niat yang ikhlas itu pada diri anda? Ia adalah suatu rasa yang lahir dari lubuk hati anda yang sering mendesak anda supaya mencari jalan yang boleh menenangkan perasaan anda. Rasa yang penuh rahsia ini yang tersembunyi di dalam qalbu anda inilah seruan dari Allah Ta'ala agar anda mencari jalan pulang kepada Zat Nya.
Cuba perhatikan rasa rahsia ini di dalam dada anda. Rasa di dalam dada ini akan terus bergelora selagi anda tidak menemukan jalan pulang ke Rahmatullah sewaktu anda masih hidup di dunia yang fana ini. Jadikanlah rasa rahsia ini sebagai niat ikhlas anda.
Pastikan anda tidak memulakan perjalanan ini semata-mata kerana mengejar karramah atau kelebihan-kelebihan yang bersifat duniawi. Ini adalah niat yang terhasil dari bisikan-bisikan syaitan di dalam jiwa insan. Jika anda berbuat demikian, maka inilah yang dinamakan sifat munafiq. Dan Allah Ta'ala mengetahui isi hati kamu.
Niat yang ikhlas akan menyampaikan anda kepada tujuan destinasi hati anda. Rasulullah SAW telah mengesahkan pernyataan ini apabila dia berkata bahawasanya setiap amalan itu ditimbang pada niat ataupun maksud tujuannya dan hasil dari amalan itu akan berkadaran dengan niat itu. Inilah Sunnatullah yang bersabitan dengan niat dan amalan insan.
Didalam niat yang ikhlas, jangan ada perasaan bimbang atau takut terhadap apa pun. Jika hati anda ingin menuju kepada Zat Allah, mana mungkin Dia menyesatkan anda kerana Dia telah berjanji di dalam Al-Quran bahawasanya Dia akan menunjukkan jalan kepada insan-insan yang ingin kembali kepadaNya.
Ketahuilah, tiada yang lebih dicintai Allah Ta'ala dari hati yang ingin kembali kepadaNya didalam keadaan menyerah jiwa dan raga dan semata-mata mengharapkan pembebasan dari ilusi hidup nafsu ammarah yang fana ini. Ikhlas yang hakikat ialah menetapkan ke ESA an Zat Allah Ta'ala dan bahawasanya sekalian sifat, nama/asmak dan perbuatan adalah milik Nya semata-mata. Inilah makam ikhlas, makam fana fillah dan baqa billah sekaligus.
Dalil-dalilnya (sebahagian sahaja kerana ada banyak di dalam Al Quran) berikut menunjukkan ketunggalan Allah Ta'ala di dalam sekalian perbuatan zohir dan batin:
1. Dan tiadalah kamu yang berkehendak, melainkan kehendak Allah.
2. Bukan kamu yang melontar, tapi Allah yang melontar.
3. Allah yang menjadikan kamu, kemudian Dia memberi kamu rezeki, kemudian Dia mematikan kamu, dan kemudian Dia menghidupkan kamu semula.
4. Sesungguhnya sekalian yang ada adalah milikNya dan sekaliannya itu akan kembali kepada Nya.
5. Aku tidak meminta kamu rezeki, malahan Aku yang memberi kamu rezeki.
Berdoalah kepada Nya agar anda diberi hati yang bersih dari hati yang munafiq. Amin. Semoga kita semua diberkati dan dirahmati Allah Ta'ala didalam ikhtiar kita mengenalNya dan seterusnya hidup didalam makrifatullah.