Apabila hati mulai mendapat yaqin dan khusyuk terhadap hakikat diri, maka hati akan bergetar-getar ibarat terkena aliran elektrik dan kekadang rasa bagai mahu demam. Ini adalah salah satu isyarat di atas makam makrifat.
Ada sebahagian insan makrifatullah yang terketar-ketar seluruh jasad kerana hati mereka amat khusuk kepada Zat Allah Ta'ala. Sudah diberitakan tentang Wali-Wali Allah yang terkadang jatuh rebah lalu pengsan tatkala mendengar nama Allah disebut. Perkara ini ada disebut didalam Al-Quran Al Karim. Malahan Allah Ta'ala kerap menyentuh perihal hati yang bergetar-getar ini didalam Al Quran. Silalah menyemak Kitabullah untuk mendapatkan dalil-dalil ini.
Wujudnya dalil Al Quran dan Al Hadith adalah penting untuk anda meyakinkan hati anda tentang apa-apa pandangan hati yang Allah titipkan ke atasnya. Tiba waktunya, anda akan melihat hakikat kebenaran pada diri anda sendiri dan juga pada alam semesta di luar sana. Semuanya dijadikan Allah Ta'ala untuk membantu insan mengenal apa itu kebenaran yang sejati.
Apabila anda telah mencapai makam makrifatullah, bagaimana untuk anda mengetahuinya? Ya, anda akan tahu nanti tanpa perlu merujuk kepada sesiapa.
Jangan sesekali anda tergoda mahupun tertipu dengan pelbagai alam yang mungkin anda tempuhi nanti di dalam perjalanan hati anda menuju ke makam makrifatullah. Alam tetap alam, bukan Zat Allah Ta'ala. Tuhan itu adalah Zat yang Sejati lagi Esa. Yang di tuju hati ialah Zat Allah Ta'ala atau di dalam bahasa Al Quran ialah Wajah Allah Ta'la.
"Inni wajjahtu wajhiya lillazi fatorossamawati wal ardho hanifa. Wa maa ana minal mushrikiin." Sesungguhnya aku menghadapkan wajahku di dalam keadaan bersih dan ikhlas kepada wajah Dia yang menciptakan langit dan bumi. Dan aku bukan dari kalangan orang-orang yang menyekutukan Allah Ta'ala.
"Demi masa, sesungguhnya insan itu berada di dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan yang beramal soleh, dan yang mengajak kepada kebaikan dengan kebenaran (Al- Haq) dan yang mengajak kepada kebaikan dengan kesabaran."