Nafsu Amarah

Langkah pertama di dalam mengenal diri ialah mengenal nafsu ammarah dan kemudiannya melancarkan jihadul akbar (jihad besar) untuk menundukkan ia. Sememangnya menjadi fitrah insan untuk bertemu dengan nafsu ammarah ini. Nafsu ini ialah diri kita di makam yang paling rendah. Ikhtiar untuk mengeluarkan diri anda dari makam yang rendah ini adalah dikenali sebagai jihad melawan nafsu ammarah.

Apakah hakikat nafsu ammarah ini? Ia adalah tahapan jiwa insan yang tidak diridhoi Allah Ta'ala. Jiwa ammarah inilah yang membuat kerosakan dan kejahatan di bumi Allah ini.

Apabila jiwa ammarah ini masuk ke dalam rumahtangga, rumahtangga itu akan rosak.
Apabila jiwa ammarah ini masuk ke dalam masjid, masjid itu akan dirosakkannya.
Apabila jiwa ammarah ini masuk ke dalam kerajaan, kerajaan itu akan rosak.

Di mana sahaja jiwa ammarah pergi, di akan berbuat kerosakan akibat dari perbuatan jahatnya. Lihatlah sekeliling anda. Perbuatan keji dan nista berleluasa seperti rogol, pembunuhan, penipuan, rasuah, hasad dengki, takabbur dan sebagainya. Semua perbuatan jahat ini disebabkan oleh penyakit hati yang sememangnya dihidapi oleh jiwa ammarah ini.

Rasulullah SAW pernah bersabda,"Apabila seseorang itu mencuri, ketika itu dia bukan seorang Muslim." Lihatlah pada takrif Muslim ini. Inilah dia kedudukan jiwa ammarah di sisi Allah Ta'ala ketika dia duduk di makam kejahatan lagi durjana. Jiwa ammarah itu kotor disebabkan menyekutukan Zat Allah Ta'ala, tidak taat kepada perintah dan sering tidak mempedulilan larangan.

Inilah ketentuan Allah, yakni Dia menjadikan nafsu ammarah ini sebagai ujian ke atas insan untuk menentukan siapa di antara mereka yang akan mendapat makam Ihsan, yakni makam nafsu yang tinggi....makam dimana kita dapat melihat Wajah Allah Ta'ala ( sila rujuk kepada Hadith Jibrail tentang Ihsan ini).

Namun, bagaimana kita dapat keluar dari makam nafsu ammarah ini? Apakah perlu kita buat? Apa perlu berzikir, bersolat, berpuasa, bersedekah, naik haji berulang-ulang kali?

Pertamanya, kita harus mengetahui bahawasanya kita ada pilihan (free will) yang Allah Ta'ala kurniakan kepada setiap jiwa insan. Pilihan ini berlaku didalam hati. Malahan, ikhtiar untuk keluar dari makam ammarah ini hanya berlaku didalam hati, bukan di luar sana.

Maka pilihan hati untuk hidup di atas makam nafsu mutmainnah (jiwa yang sudah tenang kerana sudah mengenal hakikat diri) hanya dapat dibuat jika hati anda mengenal kebenaran diri anda. Kebenaran apa yang perlu diyakini?

Sila anda pelajari tentang tujuh sifat ma'ni Allah Ta'ala. Silakan. Moga-moga anda dapat melihat kebenaran itu dengan ketajaman mata hati anda. Nafsu ammarah ini harus fana di dalam Zat Allah Ta'ala yang baqa. Ya, cara untuk keluar dari makam nafsu ammarah ini ialah dengan fana fillah.

Laa ilaha illa Allah. Apa yang dikatakan nafi dan isbat? Di mana nafi dan di mana isbat? Nafi bermaksud menafikan dan isbat bermaksud menetapkan. Menafikan bermaksud bukan membuang dan menetapkan bermaksud bukan menjadi Fir'aun.

Nafikanlah nafsu ammarah kamu dan menetaplah di makam mutmainnah. Nafikanlah keberadaan mu dan tetapkanlah keberadaan Allah di dalam hati nurani mu.

Nafikanlah zat mu yang menjadi salah-sangka mu seumur usia mu dan isbatkanlah Zat Allah Ta'ala yang Esa di dalam jiwa dan raga mu.

Ya, kamu menyangka kamu yang hidup di sisi Zat Allah Ta'ala selama ini. Ini tidak benar kerana Allah telah berfirman,"Tidakkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebgai Tuhan?" Inilah syirik pada Zat Allah.

Hakikatnya ialah tiadalah zat yang wujud melainkan Zat Allah Ta'ala. Inilah fana insan di dalam Wujud yang Sejati. Inilah pilihan yang harus kita buat di dalam jiwa dan raga kita. Apabila hati anda membuat pilihan yang benar, maka akan bergetarlah ia dengan suatu getaran yang ajaib kerana ia telah menemukan jalan kembali kepada makam asalnya.
 

Panji Rasulullah Copyright © 2008-2009 | Edited By : Copyright Tanpa Nama