Diri sebenar benarnya Diri

Identiti dan personaliti seseorang insan itu mula tercipta sejurus selepas dia lahir ke dunia yang fana ini. Tatkala seorang bayi itu lahir, sesungguhnya dia berada didalam keadaan tidak punya apa-apa kesedaran tentang dirinya dan alam dunia yang dia telah dimasukkan. Tidak lama selepas itu, barulah bayi itu dinamakan, dibangsakan dan diugamakan.

Maka dia terus membesar dengan identiti-identiti asas itu. Seterusnya, dia akan terus membina personaliti hasil interaksi identitinya dengan alam persekitarannya. Jika dia lahir dan diberi identiti sebagai seorang putra raja yang berbangsa Eropah dan berugama Kristian, maka personaliti seorang putra raja yang sedemikian rupa yang akan terbentuk. Jika dia lahir dan diberi identiti sebagai seorang orang Melayu yang berugama Islam, maka itulah yang akan menjadi asas kepada pembentukan personalitinya. Unsur-unsur didalam pemberian identiti dan pembentukan personaliti adalah tidak terhitung banyaknya. Boleh juga dikatakan sebanyak bilangan manusia itu sendiri.

Identiti awal insan dan pengaruh alam sekitarnya menghasilkan suatu personaliti yang melekat pada kesedaran dan jiwa insan sehingga dia menemui ajalnya. Namun, semua itu bukanlah identiti insan yang sebenarnya kerana semua itu datang dari alamnya. Maka identiti diri insan yang kita kenali itu sebenarnya adalah pemberian alam kepada kita, mengikut perkiraan Allah Ta'ala.

Pengetahuan insan tentang asal pembentukan identiti dirinya adalah penting untuk dia menafikan mana yang tidak disenanginya dan membenarkan apa yang serasi dengan hatinya. Contohnya, jika seseorang insan itu membesar didalam keluarga yang miskin bisa saja merubah identiti ini dengan berusaha untuk menjadi kaya. Apabila dia berjaya, maka personalitinya juga akan berubah mengikut alam persekitarannya. Inilah hak memilih yang dikurniakan Allah Ta'ala bagi setiap insan. Insan bisa memilih apa saja yang dia senangi selagi dia mampu berbuat demikian, selagi dia masih hidup.

Walaubagaimanapun, diri insan yang sebenar telah mengenal dirinya dan Penciptanya sewaktu berada di alam arwah [jamak: ruh] lagi, lama sebelum dia dilahirkan ke dunia. Allah Ta'ala telah bertanya kepadanya,"Bukankah Aku Pencipta mu?" Insan telah menjawab,"Bahkan [sememangnya!], aku menyaksikannya." Peristiwa ini berlaku didalam keadaan dimana insan itu arif benar akan siapa dirinya dan siapa Tuhannya. Perhatikan cara dia menjawab soalan Allah Ta'ala kepadanya.

Lalu ruh insan yang arif ini dilahirkan ke dunia didalam bentuk seorang bayi yang telah lupa akan asal dan usul dirinya yang sebenar. Oleh kerana sifat insan itu suka tergesa-gesa, maka diambilnya identiti dan personaliti baru yang diberikan kepadanya oleh orangtua dan alam persekitarannya, tanpa pernah mempersoalkannya.

Maka yang demikian, AlQuran itu wajib kita tela'ah untuk kita manfaatkan petunjuk-petunjuk yang terkandung didalamnya berserta petunjuk-petunjuk dari AlHadith.

Ruh insan dilahirkan ke dunia didalam keadaan lupa kerana Allah Ta'ala ingin dikenali semula. Dia inginkan supaya insan mencari jalan pulang kepada asal dan usulnya. Inilah bentuk ujian yang diciptakan bagi setiap jiwa insan. Inilah awal kepada ugama Islam [penyerahan] yang sejati. Matlamat awal beribadah adalah mengenal diri insan yang sebenar kerana tatkala dia mengenal dirinya yang sebenar, akan mengenal lah dia akan Allah Ta'ala dengan sebenar-benar kenal [makrifat]. Inilah amanah untuk insan dari Tuhannya.

Untuk mencapai maksud dan tujuan didalam pengembaraan mengenal dirinya, insan perlu menafikan [dengan menggunakan pilihan bebas] identiti dan personalitinya yang diciptakan oleh alam untuknya. Barulah dia dapat mengenal dirinya yang sebenar diri. Inilah mujahadah insan yang sebenar. Jika dia berjaya, maka dia lah yang Allah Ta'ala gelarkan sebagai Sang Khalifah. Diri inilah yang patuh dan tunduk kepada Penciptanya.

Seorang Muslim yang sebenar ialah seorang insan yang telah memulangkan [menyerahkan] amanah dirinya kepada Tuhannya sewaktu dia masih hidup di dunia yang fana ini, yakni dengan mengenal dirinya yang sebenar diri lalu mengenal dengan sebenar-benar kenal akan Tuhannya. Seorang Muslim yang sebegini rupa keadaan hatinya adalah sekaligus seorang Mukmin [insan yang yakin dengan hakikat dirinya] dan seorang Muhsin [insan yang arif akan Tuhannya].
 

Panji Rasulullah Copyright © 2008-2009 | Edited By : Copyright Tanpa Nama