Rasa Qolbu

Apabila saya memperkatakan tentang hati, jiwa dan qalbu, maka saya sebenarnya merujuk kepada perasaan yang bersemayam di dalamnya.

Perasaan ini adalah kelakuan hati. Samada kita prihatin atau tidak, sesungguhnya perbuatan zohir kita adalah mengikut kelakuan hati. Jika hati sedang bersedih, maka kita akan melakukan aktiviti-aktiviti yang sinonim dengan perasaan sedih itu. Begitu juga sebaliknya, dan bagi setiap kelakuan hati yang lain.

Di dalam renungan qalbu yang hening lagi mendalam, ia boleh sampai ke makam rasa sejati. Di sinilah hati akan bertemu dengan pati rasa yang dirahsiakan darinya selama ini. Pati rasa ini dirahsiakan kerana Allah Ta'ala ingin insan mencari jalan pulang kepada Nya...kerana itu setiap insan lahir di dalam keadaan lupa akan dirinya sendiri.

Apabila diketemukan dengan makam pati rasa rahsia ini, maka hati insan akan bersujud syukur ke hadrat Penciptanya kerana sesungguhnya bukan dia yang mencari jalan pulang, tetapi Allah Ta'ala yang membawanya kembali ke pangkuanNya. Di makam pati rasa rahsia ini, akan hilanglah sekalian kebingungan dan kesangsian. Sekalian persoalan atau pertikaian hati akan fana sekaligus baqa di dalam Ilmu Allah Ta'ala.

Makam pati rasa rahsia ini pula bertingkat-tingkat keadaannya. Ibarat nurun 'ala nur. Cahaya atas cahaya. Kedekatan insan adalah berdasarkan makam nur ini di sisi Allah Ta'ala. Namun, di makam rasa rahsia ini hati adalah tersangat hampir biar di tingkat mana pun ia berada.

Mulailah kalian meyelami rasa yang bersemayam di dalam hati dan dengarkanlah alunan-alunan rasa kebenaran yang didendangkannya saban detik. Ikutilah rasa yang sejati, bukan yang nista. Saksikanlah bentuk-bentuk rasa rahsia itu dengan mata hati dan hiruplah sekalian ilmu yang dituangkan ke dalam jiwa... agar kalian tidak gundah atau gelana lagi.
 

Panji Rasulullah Copyright © 2008-2009 | Edited By : Copyright Tanpa Nama