Bismillahirrohmanirrohiim.
Sekarang kita akan memasuki lebih jauh dan mendalam lagi dalam hal ehwal tasauf dan perjalanan bathin pengamal tariqat khususiah sufiah. Sesungguhnya perjalanan bathin dalam mengenal dan menghampirkan diri kepada ALLah Taala sangat mendalam. Namun sedalam mana sekalipun ia sangatlah mudah apabila rahmat ALLah Tala datang mencurah. Sesungguhnya jauh ALLah Taala dengan hambaNya tidak berjarak dan dekat Dia dengan hambaNya juga tidak bersentuh.
Penulis telah menjelaskan semampunya tentang dzauk dan syuhud. Penulis merasakan sangatlah kecil dan dhaif dalam menjelaskan hal dauzk, syuhud dan fana ini. Penulis bukanlah guru yang mursyid, dan bukan juga ahlul makrifah. Penjelasan penulis dalam hal ini terlalu kerdil berbanding penjelasan orang yang Kamil dan yang Arif dalam ilmu kesufian ini. Maka penulis mengambil jalan dengan mempermudahkan bahasa dan pengertian sesuai dengan penulis sebagai orang awam, dan tulisan ini juga dibaca oleh kebanyakan orang yang awam juga.
Fana adalah berkait rapat dengan kedua-dua dzauk dan syuhud ini. Dzauk adalah kedapatan perasaan yang menyerap yang mencekam bathin. Apabila dzauk menyerang bathin maka secara langsung tersyuhudlah bathin. Syuhud adalah penyaksian dalam dzauk. Ibarat ketakutan menyerang maka mengenallah hakikat ketakutan ketika itu.
Fana bererti binasa, lenyap, hilang atau yang seertinya. Dalam istilah tariqat khususiah sufiah fana bermaksud hilangnya kesedaran inderawi atau jasmani apabila seseorang mengingati ALLah Taala. Dalam sejarah kesufian, ramai sekali pengamal tariqat khususiah sufiah mengalami fana, dan ramai sekali para arifin yang menulis tentang fana ini. Siapa yang tidak mengenali Abi Yazid Bistami, Al-Halaj, Ibnu Arabi, al-Kusyairi, Buhauddin Naqsyabandi, Muhammad Abd. Karim Samani, dan Ahmad Idrisiah?
Benarkah ini boleh berlaku? Mungkin kepada orang yang tidak pernah menjalani sistematika tariqat khususiah sufiah tentunya akan menafikannya. Meraka akan mengatakan walau seingat mana seseorang itu kepada ALLah Taala, tidak mungkin akan hilang ingatan kepada yang lain. Namun ia dengan mudah dijawab dengan tamthil penglaman hidup seperti ketakutan kepada harimau. Inilah tamthil mudah sekali menunjukkan apabila seseorang itu terlalu mengingati dan takut dengan harimau, maka hilanglah ingatannya kepada yang lain
Maka apabila bukti fana melalui ketakutan kepada sesama makhluk menunjukkan tamthil hakikat fana, maka demikianlah juga akan berlaku fananya manusia kepada ALLah Taala apabila terlalu mengingatiNya. Jazbah yakni tarikan bathin sangat memainkan peranan penting kearah fana ini. Dan jazbah ini biasanya ujud apabila sesorang itu mengamalkan zikiruLLah melalui sistematika tariqat khususiah sufiah. Bab zikir ini telah penulis jelaskan dahulu setakat kemampuan penulis.
Orang yang mengalami fana biLLah, akan hilang ingatannya kepada sesuatu yang lain. Dan dalam fananya itu dia akan melihat hakikat ALLah Taala yang Laithakamithlihi syai’un, yang bukan jisim, bukan aradh dan bukan benda. Ketika fana ini pencaindera dzahir tidak akan befungsi dan diganti dengan pancaindera bathin. Dari segi perbandingan, pancaindera dzahir takluknya kepada alam maya dan pencaindera bathin takluknya kepada yang ghaib. Maka apabila fananya pancaindera yang dzahir seperti mata dan telinga, maka terbukalah pancaindera yang bathin iaitu mata dan telinga yang bathin. Mata dan telinga yang bathin ini berserta hati yang dalam itulah yang mengenal ALLah Taala. Dan ketika itu jadilah ujud dan kelakuannya dengan ALLah Taala semata-mata. Inilah isyarat Nabi Sallallahu alaihiwassallam dalam suatu Hadith Qudsi bermaksud “Tidak cukup pendekatan hambaKu kepadaKu dengan hanya menjalankan ibadah yang diperlukan atasnya supaya menjadi Aku cintai. Tetapi hambaKu mendekati Aku dengan ia selalu memperbanyakkan amalan-amalan sunat demikian banyaknya sehingga dia Aku cintai. Maka apabila dia telah Aku cintai, maka pendengaranKu menjadilah pendengarannya yang mendengar dia dengannya, penglihatanKu menjadi penglihatannya yang melihat dia dengannya, tanganKu menjadilah tangannya yang ia memegang, dan kakinya yang dia berjalan dengannya. Dan jika dia meminta kepadaKu akan Aku berikan, dan jika dia meminta perlindungan dari segala kesusahan akan Aku lindung dia”.
Maka difaham darinya, mengenal ALLah Taala adalah di dalam maqam musyahadah. Dan fana adalah pintu maqam itu iaitu maqam berhadap-hadapan dengan ALLah Taala. Liqa ALLah Taala hanya akan didapati oleh orang-orang yang benar-benar mempunyai keimanan dan keinginan yang kuat untuk bertemu Tuhannya. Firman ALLah Taala bermaksud “Maka sesiapa yang ingin menemukan (liqa) akan Tuhannya, maka hendaklah dia mengerjakan amalan soleh dan janganlah dia mempersekutukan Tuhannya dalam ibadahnya dengan sesuatu”.